Wednesday 22 April 2015

Eksplorasi Media Memorial 22-23April2015


Bagi mengenang jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh negara, Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Santai Travel mengambil inisiatif murni telah menganjurkan program Eksplorasi Media Memorial.

Program yang melibatkan penyertaan wakil media cetak, elektronik dan sosial tersebut diadakan selama dua hari dengan memberi tumpuan kepada memorial di Kuala Lumpur seperti di Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tun Hussein Onn, Galeri Sri Perdana dan Pustaka Peringatan P.Ramlee.

Wakil media juga berpeluang untuk meninjau sendiri lokasi bersejarah tersebut serta koleksi-koleksi yang ada di dalamnya dan dalam masa yang sama bertemu dengan waris atau tokoh yang pernah menduduki premis tersebut secara eksklusif.

Bersempena Tahun Festival Malaysia ke 2015 (MyFest 2015) usaha ini di harapkan dapat mempromosikan lagi memorial-memorial di Kuala Lumpur sekaligus menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan negarawan yang dapat menggamit kunjungan masyarakat tempatan mahupun pelancong luar negara.

Selain memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat mengenai jasa-jasa serta sumbangan tokoh-tokoh negara, program ini juga dapat menyemarakkan lagi memorial-memorial di bawah pengurusan Arkib Negara Malaysia. Ia juga sebagai usaha mendekatkan lagi masyarakat terutama generasi muda dengan peranan yang di jalankan oleh Arkib Negara Malaysia sebagai pusat penyelidikan yang menyimpan khazanah negara.

Bersempena dengan program ini juga satu majlis makan malam turut diadakan yang melibatkan wakil media massa dan juga penggiat industri pelancongan. Penglibatan penggiat industri pelancongan khususnya pengusaha agensi pelancongan serta pemandu pelancong amat penting dalam mempromosikan memorial sebagai produk pelancongan yang patut dikunjungi.

Sesungguhnya jalinan kerjasama pintar antara pihak media dengan Arkib Negara Malaysia ini merupakan satu inisiatif murni ke arah menyahut seruan kerajaan sekali gus memupuk perpaduan masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada pihak media massa tidak kira media elektronik atau media cetak yang memberi sokongan kepada program ini. Program ini juga membuktikan bahawa dalam konteks pelancongan pihak media massa dapat bersatu suara dalam menjayakan misi nasional Tahun Festival Malaysia 2015.